Pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah maut nahas motosikal, kereta

SEORANG pelajar di Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) Melaka meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Kampung Paku, Lendu di Alor Gajah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu mangsa, Mohammad Adam Muqris Mohd Fairus, 19, pelajar Semester 2 kursus Sijil Landskap di kolej itu dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya menunggang motosikal jenis SYM 185, selepas menghadiri majlis rumah terbuka pensyarahnya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, mangsa dipercayai datang dari arah Alor Gajah menghala ke Masjid Tanah, manakala sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi kejadian iaitu jalan satu lorong dua hala dan berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal yang ditunggangnya terseret ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah Proton Wira yang datang dari arah hadapan dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.

“Berikutan kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, KKMT dalam hantaran di Facebook rasminya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah yang juga Exco Promosi dan Data, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar.

“Pengarah dan seluruh warga KKMT mengucapkan salam takziah kepada keluarga almarhum.

“Semoga roh saudara Mohammad Adam Muqris dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” menurut hantaran berkenaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img