SEORANG pelajar perempuan berusia 13 tahun cedera selepas dipukul sekumpulan lima pelajar perempuan yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp dalam kejadian di Kota Kinabalu, Jumaat leps.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa sendiri pada 7.51 pagi, sehari selepas kejadian.
Beliau berkata semua suspek dipercayai pelajar dari beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu dan saling mengenali menerusi kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.
“Pada hari kejadian, mangsa mendakwa dibawa ke lokasi berkenaan oleh dua suspek sebelum kesemua lima suspek bertindak mengepung dan memukulnya dengan tangan disebabkan salah faham serta rasa tidak puas hati terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.
Beliau berkata mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga atau pihak polis.
“Kejadian itu turut disaksikan beberapa pelajar dan orang awam sebelum rakaman video insiden berkenaan tular di media sosial,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.


