
APABILA seorang isteri kematian suami, dia dikehendaki menjalani edah selama 100 hari atau 3 bulan10 hari, kalau ikut istilah orang cakap cerai mati. Kalaulah seorang isteri diceraikan atau istilahnya cerai hidup ia perlu menjalani edah selama 3 kali suci.
Jika seorang suami mati tiada siapapun yang mengungkit keburukannya kerana ia dilarang dalam Islam manakala kalau cerai hidup pula, kadang kala kesalahannya diungkit sama ada untuk balas dendam atau ‘gila talak’ atau sengaja mahu memburuk-burukkan lelaki berkenaan.
Tetapi dalam bab pemimpin Bersatu terus menyerang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, penulis tidak pasti ‘edah’ mana yang mereka ‘pilih’ sehingga sejak Ahli Parlimen Larut itu dipecat oleh parti itu sejak 13 Februari lalu, tidak habis-habis beliau diserang oleh kelompok berkenaan.
Sebelum ini pada 16 Februari 2026, Ahli MPT Bersatu Datuk Razali Idris berkata, perpecahan Bersatu sehingga menyebabkan Hamzah dipecat disebabkan perebutan kuasa dan sikap tidak sabar untuk mengetuai parti.
Katanya, perebutan jawatan utama sebagai presiden itu dianggap sebagai luar biasa dan membelakangkan perlembagaan parti.
Padda 3 Mac pula, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Hamzah dipecat daripada Bersatu kerana didakwa memulakan rundingan dengan UMNO tanpa pengetahuan parti.
Hari ini pula Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, Hamzah menggunakan Pas dan UMNO sebagai modal untuk memecah-belahkan Bersatu, sekali gus ingin mengambil alih parti itu daripada Muhyiddin.
Menurut beliau, tindakan itu didakwa bertujuan membolehkan Hamzah mendapatkan jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu melalui pertandingan.
“Tujuannya satu sahaja iaitu supaya jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN diserahkan kepadanya di atas dulang emas. Inilah punca perpecahan Bersatu dan sekarang PN. Beliau dipecat bukan kerana ingin mencari titik penyatuan Melayu, tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Pada 13 Jun ini genaplah, empat bulan Hamzah dipecat daripada Bersatu, maknanya Hamzah akan mengikut tempoh ‘edah mati’ pada tarikh tersebut, mungkin pada hari itu beliau ‘hidup semula’ meneruskan perjuangan dengan parti baharu, siapa tahu?
Namun apa yang menjadi persoalan kepada penulis, kenapakah Hamzah terus menjadi sasaran serangan pemimpin Bersatu? Sejak hari pertama beliau dipecat hinggalah ke hari ini beliau terus diserang. Bukankah selama ini Bersatu menyatakan ‘pemecatan dan penggantungan secara berjemaah’ ke atas Hamzah dan kawan-kawannya membolehkan Bersatu kembali aman?
Bukankah mereka uar-uarkan sudah tiada lagi ‘duri dalam daging’? Bukankah mereka cakap tiada lagi penghasut yang akan memecah belah parti? Dan yang tersirat bukankah dengan tiadanya Hamzah, kedudukan Muhyiddin sudah selamat sebagai calon Perdana Menteri (PM)?
Tetapi kenapa Hamzah terus diserang? Kenapa apa yang dituduh ke atas Hamzah diulang-ulang oleh pemimpin Bersatu? Apakah sudah ada tidak modal lain untuk menghentikan gerakan politik Hamzah yang khabarnya akan muncul bersama parti baharu tidak lama lagi?
Atau adakah Bersatu mahu mengelakkan isu-isu tertentu berkaitan parti itu terus diperkatakan? Isu apa? ‘Lain kali ini sembang’’, kata orang kampung.
Sepatutnya pemimpin Bersatu terus ‘meraikan kejayaan’ menyingkirkan Hamzah bukannya masih takut dengan bayang-bayang beliau. Jangan risau Hamzah tidak ada kekuatan seperti Bersatu.
Bukankah pemimpin Bersatu sendiri berkata bahawa Hamzah sudah tidak ada apa-apa lagi selepas disingkirkan oleh parti tersebut? Jadi kenapakah pemimpin Bersatu bersikap seperti dialog dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah…’’kalau kita ingat orang tu, orang tu ingat kita jugak’’.
Maknanya apakah pemimpin Bersatu masih ingat Hamzah? Atau Hamzah macam ‘hantu Kak Limah’ yang membuatkan pemimpin Bersatu ‘tidur tak lena’? Atau Bersatu bimbang parti Hamzah akan menarik penyokong Bersatu atau Bersatu semakin resah memandangkan hubungan dengan Pas hampir pasti BERKECAI memandangkan Hamzah baik dengan kepimpinan Pas?
Oleh itu kalau benarlah Bersatu di bawah kepimpinan Muhyiddin dengan dibantu oleh panglima-panglimannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Tun Faisal Ismail Aziz yakin kekuatan parti itu tidak akan tergugat dengan ketiadaan Hamzah, maka janganlah takut sangat sehingga hampir setiap hari ‘meratib’ nama beliau.
Hamzah sudah tidak ada apa-apa. Beliau hanya akan mengemudi parti baru. Tak kan pemimpin macam Muhyiddin, Azmin, Faizal (Peja), Radzi dan Tun Faisal takut kepada gerakan politik Hamzah? Relaklah..janganlah nampak sangat macam nak kena‘RESET’.


