PIHAK polis merujuk kertas siasatan membabitkan penuntut universiti awam yang memijak al-Quran dan hantaran menghina Nabi Muhammad kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata demikian ketika ditanya berkenaan kemungkinan penuntut lelaki itu dituduh sejurus reman tamat esok.
“Pihak polis sedang menunggu arahan (lanjut) daripada pihak KUJAKA,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu media melaporkan, reman ke atas suspek yang disiasat kerana memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Nabi Muhammad disambung tiga hari sehingga Selasa.
Ashari dilapor berkata, perintah lanjutan reman terhadap suspek berusia 21 tahun itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan diteruskan.
Susulan itu, media melaporkan kertas siasatan berhubung kes itu akan dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara hari ini bagi tindakan selanjutnya.
Sebelum itu, tular di media sosial gambar kaki dikatakan seorang lelaki memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut sebuah universiti awam.


