SEORANG pelajar tingkatan lima berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam kira-kira 5.4 meter ketika menunggu untuk menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Wakaf Bharu di Tumpat hari ini.
Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat dalam tempoh kira-kira lima minit untuk menerima rawatan selepas mengalami kecederaan ringan di kepala dan beberapa luka kecil pada badan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, sebaik sahaja tiba pada jam 9.23 pagi, pihaknya mendapati mangsa berada di dalam perigi lama yang tidak lagi digunakan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai duduk di atas penutup simen perigi berkenaan sebelum struktur itu pecah lalu menyebabkan dia terjatuh.
“Mangsa kemudian dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat khas termasuk tali dan tangga,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, paras air di dalam perigi itu dilaporkan sekitar 0.3 meter iaitu berada sekitar pinggang mangsa dan operasi berjaya dikawal pada jam 9.34 pagi sebelum tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi.
Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menerima rawatan.


