PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump mendedahkan imej individu yang disyaki melepaskan tembakan semasa Majlis Makan Malam Persatuan Wartawan Rumah Putih (WHCA) di Washington pada Sabtu.
Gambar yang dikongsikan menunjukkan suspek terbaring di atas lantai dengan beberapa anggota keselamatan mengelilinginya selepas berjaya diberkas.
Bagaimanapun, identiti suspek masih belum diumumkan secara rasmi.
Trump memaklumkan individu tersebut dipercayai berasal dari California, manakala pihak berkuasa kini menjalankan pemeriksaan di kediamannya sebagai sebahagian daripada siasatan.
Dalam sidang media di Rumah Putih, beliau turut menyatakan bahawa suspek berkemungkinan bertindak secara bersendirian.
Insiden tembakan itu berlaku pada 25 April 2026 di Washington Hilton ketika berlangsungnya majlis tahunan yang menghimpunkan pengamal media dan pemimpin negara.
Menurut Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat, suspek dipercayai cuba merempuh kawasan pemeriksaan keselamatan dengan membawa beberapa jenis senjata sebelum berjaya ditumpaskan oleh pasukan keselamatan.
Bunyi tembakan mencetuskan panik dalam kalangan tetamu apabila ratusan hadirin bertempiaran dan berlindung di bawah meja, sementara ejen keselamatan bertindak pantas mengawal keadaan serta mengiringi Trump keluar dari lokasi.
Seorang pegawai penguat kuasa dilaporkan terkena tembakan pada jarak dekat, namun terselamat kerana memakai jaket kalis peluru.
Suspek akhirnya berjaya ditahan di tempat kejadian, manakala majlis berkenaan ditangguhkan atas faktor keselamatan.
Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta memastikan tiada ancaman lanjut.


