MENTERI Luar Iran Seyed Abbas Araghchi mengeluarkan amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam satu mesej yang dimuat naik di platform media sosial X.
Dalam kenyataannya, Araghchi menulis: “Israel First’ sentiasa bermaksud ‘America Last’.”
Mengulas kenyataan Trump, diplomat tertinggi Iran itu berkata bahawa rancangan Washington untuk mencapai kemenangan ketenteraan yang cepat telah gagal.
Beliau berkata,’’Pelan A untuk mencapai kemenangan ketenteraan yang cepat dan tanpa kesakitan telah gagal, Tuan Presiden. Pelan B anda akan menjadi kegagalan yang lebih besar.”
Araghchi turut menegaskan bahawa peluang untuk mencapai satu perjanjian penting sebenarnya hampir tercapai sebelum ini, tetapi ia terlepas kerana kemajuan rundingan disembunyikan oleh pihak tertentu di Washington.
Menurut beliau, hakikatnya ialah peluang untuk mencapai satu perjanjian unik telah hilang selepas kumpulan ‘America Last’ menyembunyikan ‘kemajuan besar’ yang telah dicapai dalam rundingan. ‘
Kenyataan itu mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat antara Iran dan Amerika Syarikat di tengah konflik serantau yang turut melibatkan Israel.

Sementara itu, Brigedier Jeneral Mohammad Akrami-Nia, jurucakap Tentera Iran, menyatakan bahawa angkatan bersenjata Iran kini terlibat dalam konflik yang bukan pilihan mereka.
Dalam satu temu bual televisyen, beliau berkata Iran sebelum ini telah memberi amaran bahawa sebarang salah perhitungan oleh musuh akan membawa akibat yang serius.
“Kami telah memberi amaran bahawa jika musuh melakukan salah perhitungan, mereka akan menanggung akibat yang besar.Malangnya salah perhitungan itu berlaku, dan buat kali kedua meja rundingan telah dibom,’’ katanya.
Menurut beliau, pihak lawan Iran — bersama beberapa negara Eropah yang mendakwa menyokong dialog dan diplomasi — akhirnya mengkhianati proses rundingan dan menolak keadaan ke arah peperangan.
Bagi Iran, katanya, konflik ini dianggap sebagai perang yang sah dan suci kerana negara itu mempertahankan diri. Bagi kami ini adalah perang yang sah dan suci kerana kami mempertahankan diri. Oleh itu, motivasi dan keazaman angkatan bersenjata Iran jauh lebih kuat daripada musuh kami,” kata Akrami-Nia.
Beliau turut mengingatkan bahawa Iran sebelum ini telah memberi amaran bahawa jika perang tercetus, pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh rantau ini akan menjadi sasaran.
“Kami kata kami akan menyerang, dan kami melakukannya. Kami juga memberi amaran bahawa perang ini boleh menjadi perang serantau — dan itulah yang sedang berlaku. Kami berkata kami akan bertindak balas segera, dan kami telah melakukannya,” katanya.
Akrami-Nia menegaskan bahawa Iran tidak mempunyai niat bermusuhan terhadap negara-negara di rantau tersebut walaupun terdapat serangan terhadap pangkalan Amerika Syarikat yang terletak di negara-negara itu.
“Jika pangkalan di negara-negara rantau ini menjadi sasaran hari ini, tanggungjawabnya terletak pada Amerika Syarikat. Iran sama sekali tidak mempunyai niat bermusuhan terhadap negara-negara di rantau ini dan mengekalkan hubungan persaudaraan yang sangat erat dengan negara-negara Islam di kawasan ini. Namun apabila perang tercetus, apinya boleh merebak — dan tanggungjawab terhadap api ini terletak pada Amerika Syarikat,’’ katanya.
Beliau juga menyebut tentang sokongan kuat rakyat Iran terhadap tindakan ketenteraan negara itu.
“Di dalam negara, akibat tindakan bermusuhan musuh, kami menyaksikan peningkatan mobilisasi rakyat. Orang ramai menuntut pembalasan daripada anak-anak mereka dalam angkatan bersenjata. Kami tidak mempunyai pilihan selain bertindak balas — dan kami pasti akan melakukannya.”


