Sze Fei-Izzuddin gagal ke final, tewas kepada beregu utama India

IMPIAN beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah ke pentas akhir Terbuka Thailand tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan pilihan utama dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir, hari ini.

Pada aksi berlangsung di Nimibutr Stadium, pasangan negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu bermula garang apabila menguasai set pertama untuk menang 21-19.

Bagaimanapun, momentum cemerlang mereka gagal diteruskan dalam set kedua apabila lawan mula meningkatkan tempo permainan. Sze Fei-Izzuddin yang cuba bangkit pada penghujung permainan bagaimanapun terlepas peluang menoktahkan kemenangan sebelum tunduk tipis 20-22.

Memasuki set penentuan, gandingan India yang menghuni ranking keempat dunia tampil lebih agresif dan konsisten sehingga berjaya mengawal permainan. Walaupun beregu negara cuba memberi saingan, Rankireddy-Shetty akhirnya menutup perlawanan dengan kemenangan 21-16 dalam tempoh 80 minit.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan pasangan India berkenaan terus mendominasi rekod pertemuan dengan kelebihan 8-2 ke atas wakil Malaysia.

Sze Fei-Izzuddin sebelum ini hadir ke Bangkok dengan reputasi selaku juara Masters Indonesia yang dimenangi Januari lalu dan mengintai gelaran kedua musim ini.

Selepas tersingkir di Thailand, fokus mereka kini beralih kepada cabaran Masters Malaysia yang membuka tirai Selasa depan. Mereka dijadual membuat perhitungan dengan pasangan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana pada pusingan pertama.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img