Maritim Malaysia terima helikopter pertama AW139 perkukuh benteng maritim negara – Saifuddin

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menerima helikopter pertama jenis AW139 sebagai aset tambahan agensi itu dalam mempertingkatkan keupayaan benteng maritim negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, helikopter itu adalah sebahagian daripada perolehan empat unit aset bernilai RM529 juta.

DATUK Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas merasmikan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang hari ini

Menurut beliau, penggunaan helikopter ini bakal meningkatkan keupayaan aset udara Maritim Malaysia.

Katanya, ini kerana agensi terbabit perlu menjaga sempadan maritim kawasan zon maritim kita yang sangat luas iaitu kira-kira 556,285 kilometer persegi.

“Laut bermaksud pelbagai bentuk ancaman, pencerobohan nelayan asing, masuknya kapal negara asing, penyeludupan senjata, dadah, barang perlu, penyeludupan manusia, penyeludupan migran, pelarian, pendatang asing tanpa izin dan pelbagai bentuk ancaman jenayah yang lain.

“Jadi sangat penting untuk kerajaan menunjukkan komitmen sokongan yang kuat kepada agensi penguat kuasa seperti Maritim Malaysia. Selain daripada aset laut yang biasa, radar, kapal, dron, bot, satu elemen yang penting untuk Maritim Malaysia adalah untuk tujuan tinjauan udara, fungsi mencari dan menyelamat, operasi khas dan pelbagai bentuk tugasan lain,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penerimaan Helikopter AW189 di Stesen Udara Maritim Subang hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Rosli Abdullah.

Beliau dalam pada itu memberitahu, tiga lagi helikopter model sama dijangka diterima agensi itu menjelang Disember depan menjadikan keseluruhan aset Maritim Malaysia meningkat kepada sembilan buah.

“Ia berbeza pesawat lama tentunya keupayaan dia lebih. Pertama dari segi endurance lebih panjang, yang kedua dari segi kelajuan, yang ketiga dari segi kapasiti muatan.

“Lima kru akan mengendalikan dan dia boleh membawa sehingga 16 lagi (kru). Tapi tentunya kita akan ubah suai mengikut operasi. Yang paling penting Maritim Malaysia sekarang sesuai dengan penerimaan pesawat ini sedang menumpukan kepada aspek meningkatkan kapasitinya,” katanya lagi.

Tambah beliau, penambahan aset berkenaan turut meningkatkan semangat anggota Maritim Malaysia kerana mendapat sokongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan maritim negara.

“Ini sekali gus menunjukkan bahawa Kerajaan MADANI meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada Maritim Malaysia dalam tujuan menjaga keselamatan maritim kita,” katanya lagi.

Perolehan empat helikopter AW189 itu diluluskan melalui Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), dengan tempoh kontrak dari 19 Januari 2024 hingga 18 Januari 2029.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here