ENAM remaja ditahan selepas dipercayai terbabit dalam serangan bersenjata di sebuah premis perniagaan di Jalan Air Putih, Kuantan, pada 10 Ogos lalu yang menyebabkan dua lelaki parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 17 dan 19 tahun kini menerima rawatan di sebuah hospital di Kuantan.
Katanya, mangsa membuat laporan polis selepas diserang sekumpulan lelaki kira-kira jam 2 pagi pada hari kejadian.
“Mangsa diserang menggunakan kayu dan batang besi. Sebuah kereta Toyota Vios milik salah seorang mangsa turut rosak dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang suspek di Alor Akar kira-kira jam 2 petang, 11 Ogos lalu.
“Lima lagi remaja kemudian ditahan berhampiran gelanggang bola keranjang di Bukit Setongkol, beberapa jam selepas tangkapan pertama,” katanya.
Ashari berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada ugutan oleh salah seorang remaja terbabit untuk membakar sebuah kelab sukan.
Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga 14 Ogos bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Fatimah Mohd Said di talian 09-5652074 atau hadir ke balai polis berhampiran.





