SEORANG pemandu Porsche Cayenne dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mengaku bersalah memandu kereta mewah itu secara berbahaya di lebuh raya berhampiran Bandar Kinrara, seperti yang tular di media sosial.
Majistret Nur Natasya Mohtaruddin yang menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Woo Hong Jiang, 56, memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini, selain hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun serta dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.
Lelaki yang tidak diwakili peguam itu didakwa memandu secara berbahaya kepada dirinya dan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Puchong Bypass menghala ke Bukit Jalil, Serdang pada 2.14 petang, 18 Okt lepas.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid memohon hukuman berat dengan mengambil kira rakaman kamera papan pemuka menunjukkan tertuduh seorang pembuli jalan raya kerana memandu secara berbahaya dan tindakannya boleh menyebabkan kemalangan, selain kes itu telah tular.
“Tertuduh wajar dikenakan hukuman denda tinggi dan penjara melebihi tempoh minimum supaya memberi pengajaran kepadanya dan orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.





