Pemimpin dunia anggap perjanjian Gaza  buka jalan ke arah keamanan

Arab Saudi mengalu-alukan perjanjian yang telah dicapai mengenai Gaza dan permulaan pelaksanaan fasa pertama cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang bertujuan untuk menamatkan perang di wilayah yang dikepung itu dan membuka jalan ke arah keamanan yang menyeluruh dan adil.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Negeri Arab Saudi memuji peranan aktif Trump serta usaha pengantaraan oleh Qatar, Mesir, dan Turki yang membawa kepada termeterainya perjanjian tersebut.

‘’Kerajaan Arab Saudi menyatakan harapan agar langkah ini akan membawa kepada tindakan segera untuk meringankan penderitaan kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza, memastikan pengunduran sepenuhnya Israel dan membantu memulihkan keselamatan serta kestabilan di rantau itu,’’ kata kenyataan itu.

Arab Saudi turut menekankan kepentingan mengambil langkah-langkah praktikal ke arah pencapaian keamanan yang adil dan menyeluruh berdasarkan penyelesaian dua negara.

‘’Perkara tersebut ialah menubuhkan negara Palestin merdeka bersempadankan garisan 1967 dan Jerusalem Timur sebagai ibu negara, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan, Inisiatif Keamanan Arab dan Kenyataan New York mengenai penyelesaian aman isu Palestin,’’ kata kenyataan berkenaan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang negaranya turut membantu menjadi perantara perjanjian tersebut, mengucapkan terima kasih kepada Presiden Donald Trump kerana “menunjukkan kemahuan politik yang diperlukan” dan turut memuji peranan Qatar dan Mesir.

“Kami akan memantau dengan teliti pelaksanaan penuh perjanjian ini,” katanya, sambil menambah bahawa penghantaran bantuan kemanusiaan dan usaha membina semula Gaza adalah keutamaan utama.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyifatkan perjanjian itu sebagai “satu harapan besar bagi para tebusan dan keluarga mereka, bagi rakyat Palestin di Gaza, dan untuk seluruh rantau.”

Beliau memuji Trump dan para perantara, sambil menyatakan bahawa perjanjian ini; “mesti menjadi penamat kepada peperangan dan permulaan kepada penyelesaian politik berasaskan penyelesaian dua negara.”

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, turut mengalu-alukan perjanjian tersebut, memuji “usaha diplomatik yang tidak mengenal penat lelah” oleh Amerika Syarikat dan rakan-rakan serantau.

Bercakap dari India, beliau berkata perjanjian itu merupakan “satu detik kelegaan yang amat mendalam” bagi para tebusan dan orang awam di Gaza, dan beliau menggesa sekatan terhadap bantuan kemanusiaan segera dihentikan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img