Tak payahlah guna pemain warisan…nanti ‘silap teknikal lagi’

Walaupun Awang lega sikit dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengenai tujuh pemain warisan negara tetapi maaf cakap Awang masih tidak dapat terima kesilapan teknikal yang dilakukan oleh FAM. Kalau di luar negara pastinya seluruh pegawai persatuan bola sepak terlibat meletakkan jawatan atau dipecat.

Ini bukan kes kecil, ini kes besar, satu dunia heboh. Malaysia dituduh menipu semata-mata mahu menang. Dalam negara pula, apa yang berlaku jadi bahan jenaka.Kalau tak percaya tinjaula media-media sosial. Hinggakan dalam tiktok ada lagu sindir FAM.

Kalau pegawai-pegawai FAM tak tengok lagi tiktok tu…ni Awang catat sikit lirik lagu tu:

FIFA  sudah bongkar

Kita kena bayar

Kata semua benar

Tapi ada yang ingkar

 

Rakyat nak bukti

Kena tunggu FIFA bagi

FAM gigit jari

Nyorok bawah kerusi

 

Anak jati susah

Nak dipanggil

Terus pergi angkut budak Brazil

 

Maruah negara dipijak hina

Pergi collect player Argentina

Ini mana player

Kau sondol kata dari Malaysia

rupanya  asal Sepanyol…

Awang sokong 100 peratus apa yang ditulis dalam lirik lagu ni.  Memang betulpun maruah kita sudah dipijak hanya kerana kita ghairah nak guna sangat pemain warisan. Kalau nak guna juga buatlah kerja betul-betul, pastikan tidak ada masalah. Bila FIFA dedah baru kita nak gelabah, salahkan FIFA.

Awang tak kata FIFA sempurna tapi Awang tak yakin FAM tak bersalah. FIFA pasti dah buat siasatan teliti sebelum menjatuhkan hukuman terhadap Malaysia. Agak-agak la kalau ada pihak nak kata FIFA nak pekena FAM atau ada kata mungkin ada orang dengki dengan peningkatan pasukan Harimau Malaya.

Sejak dari awal kes ini berlaku, Awang dah tulis dalam ruangan ni nasihatkan FAM berhati-hati memberi reaksi, siasat betul-betul siapa yang salah, FIFA atau FAM..kerana takut kita malu dua kali. Betul kata Awang, akhirnya kita malu bila FIFA keluarkan hasil siasatan mereka dengan terperinci dan FAM pula mengaku ada kesilapan teknikal.

Bagi Awang tak cukup FAM mengaku kata ada kesilapan teknikal sebab agak pelik sebuah organisasi yang berusia 92 tahun boleh buat kesilapan tu.  Kalau warga emas berusia 92 tahun mungkin la sebab faktor umur, ini organisasi profesional. Tak kan buat silap kepada satu urusan yang cukup penting. Tak kan pegawai yang urus perkara itu tak tahu dokumen mana yang perlu dihantar kepada FIFA?

Satu lagi maaf cakapla Awang tertanya-tanya kenapa kita ghairah sangat nak guna pemain warisan. Kalau guna khidmat pemain import dalam liga tempatan, Awang tak kisah..gunalah sebab masing-masing negeri atau kelab bolasepak ada bajet. Tetapi ni untuk negara sebaik-baiknya gunalah khidmat anak tempatan.

Awang tak pertikaikan soal semangat nasional pemain warisan tetapi Awang pelik kenapa kita beria-ia sangat nak guna khidmat mereka. Sebaik-baiknya kita cuba lahirkan anak tempatan, dibesarkan dan dibentuk oleh pasukan negeri atau kelab dalam negara , bukan sampai bersusah payah ‘selongkar’ sijil beranak tok nenek  pemain warisan.

Apapun ikhlas cakap, Awang faham niat baik FAM nak majukan bola sepak Malaysia.  Ye la boring juga asyik, pingat emas Sukan SEA pun ‘separuh nyawa’ nak dapat, Piala Asia… mimpi boleh la.  Tetapi kalaupun nak berjaya, kita gunakan khidmat betul-betul anak tempatan. Kalau menang kita bangga, kalau kalah kita rela. Jangan sampai kejayaan mahu dikejar, maruah negara tercalar.

Awang harap FAM jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran paling berharga.Jangan ulang lagi, berhati-hati hantar dokumen. Harap FIFA akan terima rayuan FAM. Kasihan pemain warisan tak pasal-pasal kena gantung. Kalau gaji mereka kena potong, FAM kena bertanggungjawab untuk bayar sebab apa yang berlaku bukan salah mereka tapi ‘kesilapan teknikal’ FAM.

Awang – nenek asal dari Goa, India

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img