SEORANG lelaki menganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel, Sabtu lalu.
Tertuduh, Mohd Asroy Razali, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di sebuah hotel di Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 8 pagi, 1 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Difahamkan, mangsa yang dipercayai mengenali tertuduh sebelum kejadian tampil membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM18,000 selain mengenakan beberapa syarat tambahan, termasuk melarang tertuduh mengganggu saksi pendakwaan serta mewajibkannya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menjaga kedua-dua ibu bapanya, selain bapanya menghidap penyakit jantung.
Tertuduh turut memaklumkan mahkamah bahawa dia baru menjalani pembedahan jantung dan mengalami masalah angin pasang.
Mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula kes.






