SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menawarkan perkhidmatan mendapatkan lesen perniagaan dengan bayaran RM500.
Tertuduh, Ucis Ikmal Shah Mohd Ali, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chan Choon Yew, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang peniaga, Norizawati Hamzah sehingga mangsa menyerahkan wang RM300 di sebuah restoran di Desa Petaling, Kuala Lumpur, pada jam 6 petang, 4 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 November ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nuralisa Natasha Nazrulzam, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



