SEORANG anggota Tentera Darat Malaysia maut selepas tercampak dari jejambat ke jalan raya di bawah sebelum menimpa penunggang motosikal lain dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.04 pagi ketika mangsa berusia 24 tahun menunggang motosikal Honda Wave dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U sebelum tercampak ke jalan raya di bawah, manakala motosikalnya kekal di atas jejambat.
“Mangsa yang tercampak telah menimpa seorang lelaki Melayu berusia 46 tahun yang sedang menunggang motosikal Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebuah lori Isuzu yang dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa, namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario itu.
“Akibat kejadian, anggota tentera berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.





