Rempuh 12 kenderaan, pemandu lori berdepan dua pertuduhan berkaitan dadah

SEORANG pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada Jumaat lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas dua pertuduhan berkaitan dadah, termasuk memandu sehingga menyebabkan kecederaan kepada empat individu.

Tertuduh, C Agilan, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu dalam keadaan berada di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan amphetamine sehingga menyebabkan kecederaan kepada empat individu berusia 58, 53, 17 dan 29 tahun.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Rohan Singh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memperoleh pendapatan RM1,700 sebulan dan perlu menanggung isteri serta seorang anak berusia 11 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat lesen memandunya ditarik sehingga kes selesai.

Dalam prosiding berasingan, Agilan turut berdepan pertuduhan mengambil dadah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira jam 11.30 malam pada Jumaat lalu.

Tertuduh sekali lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari, mencadangkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,900 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan berkenaan.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 22 Disember ini bagi pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah, manakala 11 Januari 2027 bagi pertuduhan mengambil dadah.

Media sebelum ini melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki yang parah, dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan termasuk sebuah lori seberat 10 tan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Seksyen U10.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dilaporkan menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here