SEORANG pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) hari ini bagi membantu siasatan kes pecah amanah membabitkan penyelewengan dana berjumlah RM85,468.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan hasil maklumat dan risikan selepas tiba dari Sabah untuk ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Pintu Ketibaan Domestik KLIA2, kira-kira jam 11.05 pagi.
Katanya, siasatan kes berkenaan dijalankan sejak 13 November lalu selepas polis menerima laporan berkaitan pecah amanah jenayah.
“Siasatan awal mendapati penyelewengan wang milik pertubuhan yang beralamat di Jalan Behor di Kangar berlaku antara 2 Mac hingga 20 Julai lalu membabitkan 32 transaksi pemindahan wang ke dalam akaun peribadi suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek dijangka direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, sebatan serta denda.
Dalam pada itu, Hamzah menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan pecah amanah membabitkan penyalahgunaan kedudukan, kuasa dan kepercayaan, termasuk oleh individu yang memegang jawatan pengarah NGO.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang tanpa mengira kedudukan atau status,” katanya.





