SEORANG lelaki maut selepas mengalami kecederaan parah akibat letupan tangki helium ketika melakukan kerja kimpalan di sebuah kilang barangan lusuh di Persiaran Sungai Chua, Kajang, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian di Green Force Sustainability Sdn Bhd pada jam 11.53 pagi.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang tiba di lokasi pada jam 12 tengah hari, dengan lima anggota dikerahkan menggunakan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
Beliau berkata, mangsa berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang ke bawah serta kehilangan darah yang banyak akibat letupan berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.





