Pengedar guna taktik licik  jual barang terlarang di platform e-dagang – Fahmi

TINDAKAN menggunakan istilah berkod dan akaun palsu merupakan taktik licik pengedar barang terlarang bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak dikesan penyedia platform e-dagang.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mereka juga tidak menggunakan nama saintifik atau nama sebenar bahan larangan berkenaan, termasuk dadah sintetik berbahaya seperti fentanil, dalam iklan mereka.

“Kadang-kadang mereka menggunakan perkataan berbeza. Bagi pengguna, mereka mungkin mengenali dan mampu membeli, tetapi platform tidak tahu itu adalah barang yang terlarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan M360 ASEAN 2026, di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan tegas beliau, pemantaua dan memeriksa perkhidmatan e-dagang akan dilakukan secara berterusan, bagi memastikan tiada ruang diberikan kepada penjualan produk terlarang tersebut.

“Saya akan setiap hari membuat semakan sama ada platform masih membolehkan barang-barang terlarang ini dijual ataupun tidak,” katanya.

Beliau menegaskan pendirian tegas kerajaan tidak akan berkompromi dan menuntut syarikat platform agar bertindak proaktif, bukan sekadar menurunkan kandungan hanya selepas aktiviti berkenaan dikesan atau ditularkan.

“Banyak daripada jualan dadah ini berselindung di sebalik akaun palsu. Kita tidak mahu platform membolehkan akaun palsu diwujudkan dengan tujuan menjual produk terlarang atau terlibat dalam aktiviti termasuk judi dalam talian,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang, yang dikesan menjual dadah sintetik termasuk fentanil yang diadun atau dikaitkan dengan cecair produk vape.

M360 ASEAN 2026 anjuran GSMA yang berlangsung pada 9 dan 10 Sept menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan MCMC sebagai rakan penganjur.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here