SEORANG penghantar barang dan suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan menarik serta menjerut seekor anjing hingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan, bulan lalu.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, dan S Roghini Devi, 42, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah Idham didakwa dengan secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali loop sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.
Roghini pula didakwa dengan secara tidak munasabah menarik anjing sama sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu.
Kedua-dua kesalahan dilakukan pada 29 Julai antara 11 hingga 11.30 malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang jika disabitkan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor, Mohd Sharif Sabran mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada Muhammad Shah Idham dan Roghini berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke JPV Selangor sekali sebulan.
Muhammad Shah Idham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Roghini diwakili peguam Jeremy Vinesh Anthony dengan masing-masing memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan minimum pada RM3,500.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jumlah jaminan bagi kedua-dua tertuduh RM6,000 dan perlu melaporkan diri ke JPV Selangor sebulan sekali dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Oktober.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, Roghini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memelihara seekor anjing melebihi umur tiga bulan tanpa lesen yang sah yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di alamat yang sama pada jam 10.50 malam, 29 Julai lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Salman Al Farisi Nawawi mencadangkan jaminan RM2,000.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Jeremy memohon jaminan RM500 dengan alasan tertuduh baru sahaja dikenakan jaminan RM6,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.
Majistret A Karthiyayini kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM1,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Sebutan semula bagi semua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret ditetapkan pada 8 Oktober depan.
Media sebelum ini melaporkan, polis membuka kertas siasatan membabitkan kematian seekor anjing yang dikenali sebagai Rocky semasa operasi tangkapan haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang pada 29 Julai lalu.
Siasatan susulan kejadian itu dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, anjing berkenaan disahkan mati dalam kejadian pada 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di lokasi berkenaan.
Bangkai haiwan itu dihantar ke Jabatan Veterinar Selangor bagi proses bedah siasat.





