Rumah rakit jadi stor, sindiket dadah RM7.9 juta tumpas

TAKTIK sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah rumah rakit di Masai sebagai stor penyimpanan terbongkar selepas polis menahan sembilan suspek dan merampas dadah bernilai RM7.93 juta dalam siri serbuan pada 12 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, operasi itu melibatkan tiga serbuan termasuk di sebuah rumah rakit serta dua rumah di Masai dan Ulu Tiram.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita warga asing selain dalang sindiket berusia 54 tahun.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Masai, tiga lelaki tempatan ditahan bersama pelbagai jenis dadah termasuk dua mesin yang digunakan untuk memproses ekstasi serta peralatan bagi pembungkusan semula dadah.

“Manakala serbuan kedua di rumah rakit itu, kita menahan empat lelaki tempatan termasuk mastermind dan turut merampas sejumlah dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini, lapor TV3.

Beliau berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Ulu Tiram sebelum sepasang kekasih ditahan bersama sejumlah dadah.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal Januari lalu.

Katanya, keseluruhan rampasan membabitkan 40.381 kilogram (kg) serbuk MDMA, 23.869 kg serbuk ekstasi, 23,025 biji pil Erimin 5, 0.574 kg syabu, 4.91 kg ketamin, 18.40 liter cecair ketamin dan 230 katrij cecair syabu.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM7.93 juta,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut menyita lima kereta pelbagai jenis, dua bot laju dan wang tunai berjumlah RM11,320.

Sementara itu, Chuan Huat berkata, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 60 tahun dan hasil saringan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

“Pemeriksaan rekod kesalahan lampau mendapati enam daripada mereka mempunyai rekod kesalahan membabitkan kes dadah.

“Semua suspek kini dalam tahanan reman sehingga 25 Ogos ini,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here