Kementerian Komunikasi kukuhkan kerjasama dengan kementerian lain sampaikan inisiatif kerajaan – Fahmi

KEMENTERIAN  Komunikasi akan terus memperkukuh kerjasama dengan kementerian lain menerusi Unit Komunikasi Korporat (UKK) bagi memastikan maklumat berkaitan inisiatif dan program kerajaan dapat disampaikan dengan lebih meluas dan mudah difahami rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Bahagian Komunikasi Strategik Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan UKK di setiap kementerian untuk mengenal pasti dan menghebahkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, termasuk menerusi televisyen, radio dan platform media sosial.

Beliau berkata setiap kementerian sememangnya mempunyai peruntukan bagi mempromosikan dasar, program dan inisiatif masing-masing, namun usaha itu perlu diperkasakan supaya kumpulan sasar mengetahui kewujudan dan manfaat yang disediakan.

“Sebagai contoh, di bawah Kementerian Kewangan ada program seperti mySalam, PEKA B40 dan banyak lagi yang perlu dipastikan kumpulan sasar mengetahuinya.

“Pada masa sama, rakyat secara umumnya perlu nampak dan mengetahui bahawa program-program ini wujud dan boleh membantu mengubah kehidupan mereka,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Fahmi berkata Jabatan Penerangan akan mengumpulkan maklumat pelbagai inisiatif kementerian dan menyediakannya dalam bentuk modul ringkas untuk digunakan ketika program turun padang, termasuk menerusi sepanduk.

Beliau berkata pihaknya juga akan menyediakan satu modul sangat ringkas dan mudah yang mengandungi semua inisiatif setiap kementerian serta aplikasi yang boleh dimuat turun termasuk melalui QR.

Katanya langkah itu akan memudahkan rakyat mengenal pasti perkhidmatan digital disediakan kerajaan, termasuk aplikasi PriceCatcher di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), MyGOV Malaysia di bawah Kementerian Digital, MyJalan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan MyJPJ di bawah Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, mengulas mengenai persediaan Belanjawan 2027, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi mengemukakan lebih 20 cadangan dan inisiatif baharu serta penambahbaikan program sedia ada kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan.

“Cadangan dikemukakan merangkumi pelbagai agensi di bawah kementerian termasuk maklum balas pemain industri seni menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan program dana kandungan seperti Film in Malaysia Incentive (FIMI) dan Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI),” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt depan dan akan menjadi Belanjawan MADANI kelima serta belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here