![]()
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan mencampuri aktiviti kempen parti politik menerusi media sosial sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya memberi tumpuan kepada pemantauan dan tindakan susulan terhadap aduan diterima.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dua pendekatan itu menjadi mekanisme utama MCMC dalam menangani sebarang kandungan berkaitan kempen parti yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, tindakan siasatan hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat aduan orang awam berhubung sesuatu hantaran di platform media sosial.
“Setakat ini, dua mekanisme ini yang akan diguna pakai MCMC untuk apa-apa hantaran melibatkan kempen parti bertanding di platform media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Kempen Internet Selamat anjuran Kementerian Komunikasi dan MCMC di Universiti Multimedia (MMU) Melaka di Ayer Keroh hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Fahmi berkata, pemantauan turut merangkumi penyalahgunaan akaun media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu, penggunaan teknologi deepfake serta kandungan melampau dan tidak senonoh.
Katanya, MCMC turut mengesan trend penyebaran kandungan provokatif menerusi akaun palsu yang lazimnya ditutup atau menghilangkan diri selepas sesuatu hantaran dimuat naik.
“Kita dapati ada satu trend iaitu sesuatu kandungan itu dimuat naik oleh akaun palsu. Setelah kandungan itu dimuat naik, akaun palsu itu hilang.
“Ini yang kerap berlaku dan bukan hanya kita jangkakan sepanjang PRN sahaja, ia semakin dikesan dan agak membimbangkan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan kira-kira 98 peratus akaun yang dikenal pasti menyebarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong sebelum ini merupakan akaun palsu yang berpangkalan di luar negara.
Katanya, perkembangan itu diberi perhatian serius bagi memastikan penyalahgunaan platform digital tidak berleluasa.
Dalam perkembangan berkaitan PRN Melaka, Fahmi menyifatkan pemilihan Naib Presiden Parti Amanah Negara, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya itu sebagai keputusan berdasarkan pengalaman kepimpinannya.
“Beliau seorang yang berpengalaman, sudah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dua penggal dan pernah menjadi Ketua Menteri, jadi tiada masalah,” katanya yang juga Pengarah Komunikasi PH.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan mengumumkan Adly, yang turut dinamakan sebagai calon gabungan itu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, sebagai poster boy dan calon Ketua Menteri Melaka sekiranya PH memenangi PRN berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 November.





