Pengurus projek didakwa edar lebih 6kg syabu

SEORANG pengurus projek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di kawasan Taman Kenari, minggu lalu.

Tertuduh, Suventhiran Selvaraj, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 6.3 kilogram di kawasan Taman Kenari, Kulim kira-kira jam 12.10 tengah malam pada 22 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jayasri Ravichanthiran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sebelum ini, polis merampas sembilan peket plastik lut sinar disyaki mengandungi syabu dengan anggaran berat keseluruhan 6.3 kilogram bersama beberapa barangan lain termasuk sebuah beg sandang kelabu, beg plastik hitam dan dompet mengandungi wang tunai RM400 serta kad pengenalan.

Hasil saringan awal air kencing mendapati tertuduh positif methamphetamine.

Semakan turut mendapati tertuduh mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img