PENGUSAHA kebun durian mengalami kerugian RM202,460 selepas diperdaya sindiket penipuan tawaran nombor ramalan tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata pada 25 Nov tahun lepas, mangsa yang merupakan wanita berusia 63 tahun itu telah melihat iklan di Facebook memaparkan seorang individu sebagai sami dari sebuah tokong di selatan Thailand menawarkan perkhidmatan tilik nasib kewangan.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut kemudiannya telah menghubungi suspek pertama melalui telefon dan dimaklumkan bahawa mangsa boleh mengubah nasib dengan membeli tiket loteri Magnum 4D serta berpeluang memenangi hadiah utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kemudiannya diarahkan berurusan dengan seorang individu lain yang didakwa sebagai ejen di Kelantan bagi tujuan pembayaran, selain wanita itu juga telah dimaklumkan telah memenangi hadiah tempat pertama loteri berjumlah RM 1.2 juta.
“Bagi membolehkan wang kemenangan tersebut dikeluarkan, mangsa telah diminta membuat beberapa bayaran kononnya bagi tujuan urusan pihak bank dan cukai pindahan wang antara negara.
“Bermula 23 Dis 2025 hingga 22 Mei 2026, mangsa telah membuat sebanyak 12 transaksi keenam akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan sendiri serta hasil pajakan barang kemas dengan jumlah keseluruhan RM202,460,” katanya.
Azry Akmar berkata mangsa menyedari dirinya diperdaya selepas wanita itu tidak menerima sebarang wang kemenangan seperti yang dijanjikan, selain kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran kemenangan loteri, nombor ramalan atau hadiah lumayan yang diterima melalui media sosial dan aplikasi komunikasi.
“Jangan membuat sebarang bayaran bagi tujuan “cukai” “yuran pelepasan” “caj bank” atau bayaran lain sebelum membuat semakan dan pengesahan dengan pihak berkuasa atau agensi berkaitan,” katanya.





