PENIAGA apam balik didenda RM11,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, terhadap pertuduhan membuat hantaran video lucah, dua tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Azmirul Iman Ulul Azmi, 23, selaku orang kena saman (OKS).
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu, lapor Harian Metro.
Muhammad Azmirul Iman dari Mentakab, Pahang, didakwa menggunakan aplikasi X melalui akaun ‘sweetierosieee’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk video lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain.
Kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu dilihat di sebuah apartment di Desa Pandan Off Jalan Kampung Pandan di sini, kira-kira 11.32 malam pada 29 Mac 2024.
Muhammad Azmirul dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu melihat video berkenaan dan berasa terganggu kerana ia menunjukkan aktiviti lucah yang dijual secara terbuka.
Pengadu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal aduan atas talian sebelum pegawai yang menjalankan siasatan membuat pemeriksaan terhadap lelaki itu di Balai Polis Mentakab.
Pegawai operasi turut merampas telefon pintar iPhone 11 Pro Max dan menemui kandungan berkaitan lalu merampas barang berkenaan bersama kad sim.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa MCMC yang mengendalikan kes, Nazrul Nizam Mohd Zameri bersama Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memohon hukuman setimpal kerana perbuatan Muhammad Azmirul memuat naik kandungan lucah ke media sosial menyumbang lambakan kandungan itu, keruntuhan moral, seks bebas dan penularan penyakit kelamin serta jenayah seksual.
Sementara itu, Muhammad Azmirul dalam rayuannya mengaku insaf selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu dan memohon hukuman ringan kerana membantu bapanya berniaga dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.
Izralizam sebelum menjatuhkan hukuman memberi amaran kepada tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahan dan boleh dikenakan hukuman lebih berat sekiranya didapati bersalah atas perbuatan sama.


