Penjaga parkir, tukang kebun didakwa pukul lelaki guna parang

SEORANG penjaga parkir dan tukang kebun didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian di Taman Jajar, Jalan York, 10 November lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 41 dan 25 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa dengan menggunakan parang sebagai senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Jajar, Jalan York, dalam daerah Timur Laut kira-kira jam 5.30 petang pada 10 November lalu, lapor BH.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tidak mengganggu mangsa atau saksi serta melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap satu haribulan.

Peguam, S Meharaj yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan minimum dengan mengambil kira keadaan dan tanggungan mereka.

Beliau berkata, tertuduh pertama yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dan menggunakan kaki palsu bekerja sebagai penjaga parkir dengan pendapatan RM50 sehari selain menghidap diabetes.

Tertuduh kedua pula bekerja sebagai tukang kebun dengan pendapatan RM1,700 sebulan serta menanggung lima ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa atau saksi dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 17 Disember depan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here