Wanita warga asing maut dipercayai terjatuh dari tingkat 3 hotel

SEORANG wanita warga asing berusia lewat 20-an ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah hotel di daerah Segamat, awal pagi tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Segamat selepas pihak polis menerima panggilan daripada hospital berkenaan kira-kira jam 5.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, siasatan awal di lokasi mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kecederaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Katanya, pemeriksaan lanjut di bilik hotel tingkat tiga yang disewa mangsa menemukan ubat penenang serta sebuah kerusi berhampiran tingkap yang terbuka.

“Sepasang selipar milik mangsa turut ditemukan di balkoni bilik berkenaan, manakala barangan peribadi seperti dompet berisi wang tunai, telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri masih berada di dalam bilik.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here