SEORANG penjawat awam mengalami kerugian RM164,100 apabila terperdaya dengan urusan ‘fast track’ membawa masuk pekerja asing oleh seorang lelaki.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, mangsa berusia 40 tahun itu mendakwa berurusan dengan suspek dikenali sebagai Mr. Tony sejak September tahun lalu bagi mendapatkan kira-kira 150 pekerja asing untuk projek pembersihan di Gerik, Perak.
Katanya, suspek kemudian meminta mangsa membuat beberapa bayaran bagi urusan pemprosesan pekerja asing tersebut dengan janji mangsa akan menerima pekerja berkenaan dalam tempoh yang cepat.
“Mangsa telah membuat sebanyak 21 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM164,100. Bagaimanapun sehingga kini mangsa tidak menerima pekerja asing seperti dijanjikan,” katanya lapor Buletin TV3.
Muhammad berkata, mangsa beberapa kali menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan, namun lelaki terbabit terus memberi pelbagai alasan dan gagal menyelesaikan urusan berkenaan.
“Mangsa yang menyedari dirinya diperdaya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


