PENTARAMA semarak patriotisme generasi muda

PROGRAM Persembahan Pentas (PENTARAMA) x Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menjadi platform menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap tanggungjawab sebagai warganegara bersempena Bulan Kebangsaan tahun ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program yang menghimpunkan kira-kira 60 pelajar Tingkatan Enam dari sekitar Bahau, Kuala Pilah dan Jempol itu bertujuan menyemarakkan rasa cinta kepada negara selain memberi penegasan mengenai aspek kenegaraan.

Beliau berkata, sebagai anak watan dan rakyat Malaysia, setiap individu perlu memahami sejarah negara serta tanggungjawab masing-masing dalam membantu negara terus maju.

“Program ini memberi peluang kepada kita menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara dan memberi penegasan tentang aspek-aspek kenegaraan.

“Sebagai seorang anak watan dan warga negara, kita juga mempunyai tanggungjawab serta perlu memahami sejarah selain peranan kita untuk menjadi rakyat Malaysia yang mampu membantu negara maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program PENTARAMA x Kelab Malaysiaku dan Kempen Internet Selamat di Pejabat Penerangan Daerah Jempol, hari ini.

Fahmi berkata, beliau turut mengambil peluang mendengar pandangan dan soalan daripada pelajar yang kebanyakannya menunjukkan motivasi tinggi serta peka terhadap pelbagai cabaran semasa.

Menurutnya, antara isu yang dibangkitkan ialah ancaman berita palsu, kesihatan mental, penggunaan media sosial serta masa depan golongan muda dalam era perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Saya lihat rata-rata mereka mempunyai motivasi yang tinggi dan memahami cabaran semasa. Ramai juga yang bertanya mengenai masa depan dengan adanya lambakan teknologi termasuk AI.

“Saya percaya kira-kira 60 pelajar Tingkatan Enam yang hadir hari ini mempunyai masa depan yang cerah dan saya amat berterima kasih kepada pasukan JAPEN yang mengusahakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad berkata, Program PENTARAMA yang menampilkan persembahan pentas melalui nyanyian, tarian dan drama merupakan antara inisiatif jabatan itu bagi mempromosikan semangat kemerdekaan, perpaduan serta menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di seluruh negara.

Beliau berkata, bagi program di Jempol, penyertaan melibatkan tiga sekolah yang mempunyai Kelab Malaysiaku dengan keahlian terdiri daripada pelajar Tingkatan Enam yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

“Pemilihan peserta di daerah ini dibuat membabitkan tiga sekolah yang mempunyai ahli Kelab Malaysiaku. Mereka terdiri daripada pelajar Tingkatan Enam yang akan mengambil peperiksaan STPM tahun ini.

“Di seluruh negara pula, kita mempunyai kira-kira 850 Kelab Malaysiaku yang menjadi medium untuk menyemai semangat patriotisme, perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img