KERAJAAN menetapkan sebarang pembangunan kawasan penternakan babi hanya boleh dilaksanakan di lokasi baharu yang jauh dari penempatan penduduk serta sumber air kritikal.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri selepas mengadakan perbincangan susulan kebimbangan terhadap isu pencemaran dan kesan kepada komuniti setempat.
“Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa kawasan penternakan khinzir hanya boleh dilaksanakan di kawasan baharu yang terletak jauh dari kawasan perumahan atau sumber kritikal seperti aliran air dan sungai.
“Ia juga perlu melibatkan penggunaan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan baik,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Jemaah Menteri turut membincangkan isu rumah ibadat tidak berdaftar yang memerlukan penyelarasan antara pelbagai agensi.
“Perdana Menteri telah mengarahkan supaya Kementerian Perpaduan menyelaras satu perbincangan lanjut bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta pihak-pihak berkepentingan bagi menguruskan isu rumah ibadat yang tidak berdaftar,” katanya.
Fahmi berkata, langkah ini bagi memastikan isu rumah ibadat tidak berdaftar dapat diuruskan secara lebih teratur dan menyeluruh.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian bahawa pembinaan rumah ibadat mesti dibina mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.


