SEORANG penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan motosikal lain ketika dipercayai melawan arus bagi mengelak Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 47 tahun yang menunggang motosikal SYM Maxsym 400 mengalami kecederaan parah di kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai berpatah balik dan melawan arus selepas menyedari terdapat SJR polis di hadapan.
“Penunggang Yamaha Y15ZR dipercayai melawan arus bagi mengelak SJR yang berada kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian sebelum bertembung secara berdepan dengan motosikal lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, siasatan mendapati penunggang Yamaha Y15ZR dipercayai berbuat demikian bagi mengelak pemeriksaan kerana motosikal terbabit mempunyai aksesori yang tidak lengkap.
Katanya, hasil ujian alkohol dan saringan awal air kencing terhadap penunggang Yamaha Y15ZR didapati negatif.
“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.,” katanya.
JSPT Kuala Lumpur menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak bertindak melawan arus atau mengambil tindakan berbahaya semata-mata bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.






