SEORANG penyelia tapak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah hampir RM1.9 juta, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Law Tuan Hai, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Tuan Hai didakwa menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM300,000, RM100,000 dan RM1.14 juta menerusi cek secara berasingan daripada sebuah syarikat selepas dengan curangnya memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk memindahkan wang tersebut ke akaun semasa miliknya.
Dia didakwa menipu mangsa dengan memperdayakannya supaya mempercayai tertuduh menjual satu lot tanah di Rembau, sedangkan dia bukan pemilik sah hartanah tersebut.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Bahau, Jempol antara 5 hingga 11 Disember 2023.
Bagi pertuduhan keempat, Tuan Hai yang diwakili peguam Raqib Osman didakwa melakukan perkara sama dengan menerima sejumlah wang RM338,000 daripada seorang lelaki berusia 54 tahun bagi tujuan penjualan lot tanah di lokasi yang sama pada 7 Disember 2023.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Nurliana R Azmi menawarkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan serta mengemukakan permohonan supaya empat pertuduhan itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang memandangkan kes predikat berhubung kes itu dipertuduhkan di mahkamah tersebut semalam.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan kes akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Georgetown, pada 9 September depan.






