Perdasama mahu wujudkan hab halal Linyi-Malaysia

PERSATUAN Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) berhasrat mewujudkan hab halal Linyi-Malaysia bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala dan membuka laluan yang lebih luas untuk usahawan bumiputera menembusi pasaran China.

Presiden Perdasama Mohd Azamanizam Baharon berkata cadangan itu akan disuarakan pada Persidangan Penyumberan Antarabangsa Bandar Perdagangan Linyi edisi keempat di Linyi(Shandong) yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

“Mewujudkan hab halal Linyi-Malaysia merupakan langkah strategik untuk mengembangkan pasaran antarabangsa perniagaan bumiputera, mencari rakan kongsi serta meneroka peluang pelaburan baharu.

“Kehadiran kami di sini menjadi platform penting untuk membina kerjasama komersial jangka panjang dan mewujudkan peluang pembangunan mampan bagi perniagaan antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama.

Katanya usaha itu diharap dapat membantu usahawan bumiputera mengatasi batasan pasaran domestik dengan membina rangkaian perniagaan antarabangsa, memahami secara mendalam permintaan pasaran global dan memacu kerjasama praktikal yang mampu diterjemahkan dalam bentuk pesanan perdagangan, projek pelaburan, pengedaran produk dan pembangunan industri.

Beliau berkata cadangan itu kemudiannya akan dibincangkan dengan Kerajaan Rakyat Perbandaran Linyi untuk dibangunkan sebagai platform kerjasama yang menghubungkan kelebihan perdagangan, pengedaran dan logistik Linyi dengan kapasiti industri halal Malaysia dan rantaian pasaran ASEAN.

“Bidang yang boleh dikaji bersama merangkumi pusat pameran dan pemasaran produk halal, pembinaan rangkaian pengedaran serta projek pemprosesan dan pembungkusan produk,” katanya.

Mohd Azmanizam berkata cadangan itu bertepatan dengan prospek pasaran halal dengan merujuk kepada data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang merekodkan eksport produk halal Malaysia ke China mencatatkan nilai sebanyak RM6.25 bilion pada 2024.

“Tambahan pula, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM542.2 bilion tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata produk Malaysia mempunyai potensi untuk mengembangkan lagi pasaran pada peringkat antarabangsa namun kejayaan eksport memerlukan persediaan yang rapi.

“Perdasama berharap dapat membantu perniagaan merapatkan jurang maklumat pasaran dan sumber komersial melalui kerjasama strategik,” katanya.

Selain memfokus pada eksport, katanya Perdasama turut mengalu-alukan syarikat dan pelabur dari Linyi serta wilayah Shandong untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia dalam sektor pemprosesan makanan, pertanian moden, logistik dan pembangunan rantaian bekalan.

Katanya kejayaan misi perdagangan tidak seharusnya diukur dengan jumlah pertemuan semata-mata, sebaliknya perlu disusuli dengan peluang perniagaan pada masa depan.

“Daripada persahabatan kepada perdagangan, daripada peluang kepada pelaburan dan daripada kerjasama kepada kemakmuran bersama, inilah visi Perdasama yang komited ke arah mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan China,” katanya.

Persidangan Penyumberan Antarabangsa Bandar Perdagangan Linyi edisi keempat yang bertemakan ‘Menghubungkan Pasaran Global, Membeli Produk Berkualiti Seluruh Dunia’ diadakan di Pusat Ekspo Antarabangsa Linyi.

Persidangan anjuran Kerajaan Rakyat Perbandaran Linyi itu menjadi platform penyumberan sehenti yang menghubungkan pembeli antarabangsa secara terus dengan pembekal dan pengilang di China.

Persidangan ini memfokus pada eksport komoditi kecil dan integrasi rantaian bekalan sejajar dengan peranan penting Linyi dalam Inisiatif Jalur dan Laluan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here