PERINTAH Mahkamah berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak didakwa mengandungi percanggahan dalam klausa berkaitan pelanggaran syarat tahanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketepatan penyediaan dokumen berkenaan.
Peguam, Liyana Marzuki melalui Facebook beliau berkata, terdapat klausa dalam perintah itu yang menyatakan sekiranya Najib melanggar syarat tahanan rumah, perintah berkenaan akan terbatal dan beliau perlu kembali menjalani hukuman penjara atau ditempatkan di lokasi yang ditentukan oleh Komisioner Jeneral Penjara.
Bagaimanapun, katanya, perkara yang menimbulkan persoalan ialah kewujudan satu lagi klausa yang didakwa memberikan pilihan kepada Najib untuk terus tinggal di kediamannya di Langgak Duta.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan kekeliruan kerana ia dilihat tidak selari dengan pemahaman bahawa pelanggaran syarat tahanan rumah sepatutnya menyebabkan Najib dikembalikan ke penjara.
“Kalau Datuk Seri Najib melanggar syarat tahanan rumah, perintah ini sepatutnya terbatal dan beliau perlu kembali ke penjara atau mana-mana tempat yang ditetapkan oleh Komisioner Jeneral Penjara. Tetapi secara tiba-tiba terdapat klausa yang membolehkan beliau tinggal sahaja di rumah Langgak Duta. Apa sebenarnya maksud peruntukan ini?” katanya dalam kenyataan.

Liyana turut mempersoalkan ketelitian penyediaan perintah berkenaan yang menurutnya mengandungi beberapa kesilapan dari segi penggunaan ayat, rujukan seksyen undang-undang serta butiran nama pesalah.
Katanya, dokumen mahkamah yang melibatkan kes berprofil tinggi dan mendapat perhatian antarabangsa sepatutnya disediakan dengan penuh ketelitian, memandangkan kesilapan dalam dokumen rasmi boleh menimbulkan kekeliruan terhadap pelaksanaan sesuatu keputusan.
Beliau turut membangkitkan kewujudan lampiran yang mengandungi syarat-syarat tahanan rumah, namun kandungannya masih belum diketahui secara jelas.
Menurutnya, tindakan Peguam Negara meneliti atau menangguhkan tindakan terhadap perintah berkenaan wajar dilihat dalam konteks keperluan memastikan dokumen itu tidak mengandungi percanggahan atau kesilapan yang boleh menjejaskan pelaksanaannya.
Dalam pada itu, Liyana menggesa Peguam Negara mempersembahkan perkara berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan pihak yang bertanggungjawab menyediakan perintah tersebut serta memastikan titah berkaitan tahanan rumah tidak disalah tafsir atau dimanipulasi.
Beliau menyifatkan percanggahan yang didakwanya wujud dalam dokumen itu sebagai perkara serius kerana ia membabitkan pelaksanaan titah diraja.
Liyana turut menggesa UMNO dan PAS membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan bagi membolehkan dakwaan yang dibangkitkan disiasat oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai percanggahan klausa dan kemungkinan manipulasi titah berkenaan memerlukan penelitian terhadap keseluruhan perintah mahkamah, termasuk lampiran syarat tahanan rumah, sebelum sebarang kesimpulan undang-undang dapat dibuat.





