SEORANG lelaki warga Malaysia ditahan polis di Batam, Indonesia selepas dipercayai merompak seorang wanita menggunakan pistol jenis airsoft sebelum melarikan keretanya serta mencederakan anggota polis ketika cuba meloloskan diri pada Jumaat lalu.
Suspek yang berusia 41 tahun dan berasal dari Melaka itu didakwa mengugut mangsa berusia 48 tahun menggunakan pistol airsoft dan sebilah pisau sebelum melarikan sebuah Toyota Rush bersama barangan berharga milik wanita berkenaan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai 292 juta rupiah (RM73,000).
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, suspek dipercayai nekad melakukan rompakan selepas kehabisan wang ketika bercuti di Indonesia.
“Dia tiba di Indonesia pada 15 September lalu, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas gagal mendapatkan wang mencukupi untuk membiayai perjalanan pulang ke Malaysia.
“Dia pada mulanya datang ke Indonesia untuk bercuti, tetapi kehabisan wang. Suspek kemudian merancang merompak seseorang bagi mendapatkan wang untuk pulang ke tanah air dengan menyasarkan mangsa secara rawak,” katanya, lapor media Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, kejadian bermula apabila mangsa selesai membayar cukai kenderaan di kaunter Samsat, Harbour Bay sebelum mengeluarkan wang tunai di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Ketika kembali ke keretanya, suspek didakwa masuk ke tempat duduk penumpang dan mengarahkan mangsa memandu ke arah Bukit Senyum.
Setibanya di kawasan luar sebuah taman perumahan, lelaki itu mengeluarkan pistol airsoft serta pisau sebelum mengugut mangsa supaya memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya.
Bagaimanapun, mangsa bertindak menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan suspek panik sebelum menolaknya keluar dari kenderaan dan melarikan diri bersama kereta serta barangan berharga miliknya.
Cubaan meloloskan diri itu bagaimanapun gagal apabila seorang anggota polis trafik yang terdengar jeritan mangsa bertindak mengejar kenderaan berkenaan sebelum berjaya memintasnya.
Agung berkata, suspek turut mengacukan pistol airsoft ke arah anggota polis terbabit dan merempuhnya sehingga menyebabkan anggota berkenaan cedera.
Siasatan lanjut mendapati senjata itu dibeli daripada seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri pada harga satu juta rupiah.
Pengawal keselamatan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membekalkan senjata tersebut.
Polis turut merampas Toyota Rush yang dicuri, wang tunai satu juta rupiah, sebuah beg, pistol airsoft bersama lima kartrij karbon dioksida (CO2) serta sebilah pisau.
Suspek berdepan pertuduhan mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia bagi kesalahan mencuri dengan kekerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun.





