Oleh : Datuk Ahmad Amzad Mohamed
SAYA memandang serius kandungan perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai baru-baru ini khususnya melibatkan Artikel 5.1 dan Artikel 6.2.
Kedua-dua peruntukan ini bukan sekadar isu teknikal tetapi menyentuh terus soal kedaulatan negara dan kelangsungan dasar ekonomi Bumiputera, dua asas utama pembinaan negara bangsa kita. Apa yang membimbangkan, perbandingan dengan perjanjian serupa antara AS dan Kemboja menunjukkan Malaysia jauh ketinggalan dalam mempertahankan maruah serta kebebasan menentukan dasar sendiri.

Dalam perjanjian AS–Kemboja, Artikel 5.1 dengan jelas melindungi kedaulatan negara tersebut: “Cambodia shall regulate in a manner that does not infringe on Cambodia’s sovereign interests.
” Ini memberi ruang kepada Kemboja untuk menolak sebarang tindakan yang menjejaskan kepentingan nasionalnya. Namun dalam perjanjian AS–Malaysia, frasa “sovereign interests” langsung digugurkan dan digantikan dengan ayat berbentuk umum tentang “goodwill” dan “shared commitment”.
Tanpa sebutan mengenai kedaulatan, Malaysia kini terikat untuk mengambil langkah setara dengan AS walaupun mungkin bercanggah dengan kepentingan nasional sendiri. Ia satu kegagalan diplomasi yang memalukan seolah-olah kerajaan Madani lebih rela tunduk kepada tekanan kuasa besar berbanding mempertahankan prinsip kemerdekaan negara.
Lebih mengejutkan, Artikel 6.2 perjanjian ini secara langsung menjejaskan dasar ekonomi Bumiputera dan peranan GLC/GLIC sebagai alat pelaksanaan dasar negara. Klausa tersebut mewajibkan Malaysia memastikan GLC bertindak atas dasar komersial semata-mata dan tidak mendiskriminasi barangan atau perkhidmatan dari AS.
Ini bermakna, dasar mengutamakan vendor tempatan atau Bumiputera boleh dianggap sebagai pelanggaran perjanjian. Tambahan pula, kerajaan dilarang memberi bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC kecuali untuk tujuan perkhidmatan awam.
Peruntukan ini bercanggah dengan semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan menjejaskan Dasar Ekonomi Bumiputera. GLC dan GLIC bukan sekadar entiti perniagaan tetapi instrumen dasar negara bagi memperkasa ekonomi tempatan, membina daya saing industri strategik dan melindungi kepentingan nasional.
Sekiranya autonomi mereka dihadkan oleh tekanan perjanjian antarabangsa, maka kerajaan sebenarnya sedang menyerahkan kuasa ekonomi negara kepada pengaruh asing.
Saya berpandangan bahawa perjanjian ini ditandatangani secara tergesa-gesa tanpa rundingan mendalam dengan pihak berkepentingan termasuk pakar undang-undang, industri dan kumpulan ekonomi Bumiputera.
Justeru, saya mendesak kerajaan menangguhkan pengesahan perjanjian ini sehingga satu penilaian menyeluruh terhadap kesannya dibuat serta memastikan setiap perjanjian antarabangsa selepas ini mesti mengandungi klausul perlindungan terhadap kedaulatan dan kepentingan Bumiputera secara jelas.
Malaysia tidak menolak perdagangan antarabangsa, namun ia mestilah berasaskan kepada prinsip saling menghormati dan bukannya dalam bentuk penyerahan kuasa.
Sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, saya menegaskan bahawa perdagangan tanpa maruah bukanlah sebuah kemajuan tetapi satu bentuk pengorbanan yang sia-sia. Kedaulatan dan kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan melebihi segala bentuk tekanan politik atau ekonomi dari luar.
*Datuk Ahmad Amzad Mohamed adalah Ahli Parlimen.



