Perlembagaan akan dipinda untuk tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata Perlembagaan akan dipinda bagi membuka ruang penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Perdana Menteri, penambahan itu perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi, berbanding ketika ini.

“Beberapa keputusan yang biasa kita percepatkan, tetapi yang agak utama adalah keputusan untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan penyertaan Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lebih daripada sepertimana yang dijanjikan dalam MA63.

“Penambahan itu mesti juga melibatkan ratio Sabah-Sarawak itu lebih tinggi. Yang ini kena faham, penambahan Ahli Parlimen itu wewenang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu hari ini, lapor Sinar Harian.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.

Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kawasan Parlimen, manakala Sarawak, 31.

Menurut Anwar, kemungkinan berlaku penambahan kerusi di Semenanjung juga tidak boleh diketepikan, namun ia tidak boleh menjejaskan prinsip nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu ditingkatkan daripada kedudukan sekarang.

Beliau merujuk kedudukan ketika pembentukan Malaysia pada 1963 yang menyaksikan Singapura, Sabah, dan Sarawak secara keseluruhannya mempunyai satu pertiga daripada perwakilan.

“Maknanya, mungkin ada penambahan juga dari Semenanjung, penambahan dari Sabah dan Sarawak, tetapi penambahan ini tidak boleh menjejaskan prinsip ratio perwakilan Sabah dan Sarawak itu harus lebih tinggi daripada yang ada sekarang.

“Walaupun dalam Perjanjian MA63 itu dengan penyertaan Singapura, dia satu pertiga daripada Singapura, Sabah, Sarawak. Sekarang ini tentunya kurang.”

Anwar berkata, wakil Sabah dan Sarawak seterusnya akan mengadakan rundingan bersama parti di Semenanjung berhubung perkara itu.

Katanya, prinsip penambahan penyertaan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak telah dipersetujui lebih awal oleh Jemaah Menteri sebelum diluluskan pada mesyuarat Kabinet dengan mengambil kira peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah.

“Penambahan itu boleh jadi mengelirukan, tambah tak bermakna dia mungkin hanya ‘equalize’ sepertimana yang ada. Jadi, penambahan dengan peningkatan ratio penyertaan Sabah dan Sarawak. Itu yang pertama yang penting,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here