POLIS sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan gangguan seksual serta cubaan menarik seorang pelajar perempuan di kawasan Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada Khamis, minggu lalu.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Polis sedang mengesan suspek iaitu seorang lelaki bertubuh tinggi, kurus dan berkulit gelap,” katanya ketika dihubungi semalam, lapor Harian Metro.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau suspek supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Zakiyah Daud di talian 011-26046234.
Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial dibuat seorang ibu yang mendedahkan insiden cemas menimpa anak perempuannya yang berusia 13 tahun ketika dalam perjalanan ke sekolah sebuah sekolah di taman berkenaan, kira-kira jam 6.30 hingga 6.40 pagi.
Menerusi hantaran itu, mangsa yang menunggang skuter elektrik mendakwa diekori seorang lelaki menaiki motosikal yang membawa tong syarikat p-hailing dari kawasan berhampiran sebuah sekolah ke Taman SS6.
Lelaki berkenaan didakwa bertindak menayangkan kemaluan, menunjukkan video lucah di telefon bimbit serta menawarkan wang sebelum cuba menarik tangan mangsa.
Takut dengan tindakan suspek, mangsa bertindak memecut skuternya ke sekolah sebelum menceritakan kejadian itu kepada guru dalam keadaan menangis dan trauma.
Susulan kejadian itu, wanita berkenaan turut menasihatkan semua ibu bapa dan pelajar sekolah untuk lebih berhati-hati serta memastikan anak-anak sentiasa berwaspada dengan orang di sekeliling sewaktu berada di luar rumah.






