Peruntukan penyelenggaraan sekolah naik 50 peratus kepada RM1.5 bilion – PM

KERAJAAN akan meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion pada 2027.

 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan itu akan meliputi semua aliran sekolah keutamaan termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

“Semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan,” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah mulai bulan depan bagi meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana sekolah.

Perdana Menteri  berkata langkah itu bagi memastikan keperluan pembaikan prasarana dapat dikenal pasti lebih awal dan tidak tertangguh sehingga tahun depan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan Program AI Untuk Rakyat akan dibuka mulai 1 Sept kepada 100,000 belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Belia yang melengkapkan modul ditetapkan, akan menerima langganan aplikasi kecerdasan buatan (AI) terkemuka secara percuma selama tiga bulan.

“Ia merangkumi ilmu chat AI tempatan yang disahkan…Gemini Enterprise dari Amerika Syarikat serta Wonder Clip dan Mul Run dari negara Cina, semua akan dapat kemudahan,” kata beliau.

Bagi sektor kesihatan awam, Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion, bagi memperkukuh kecekapan digital termasuk pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mempercepat proses rawatan, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu pesakit di hospital dan klinik kesihatan awam.

Anwar berkata kerajaan turut bersetuju menaikkan ambang pengecualian pelaksanaan e-Invois sekali lagi daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here