SEORANG pesara kerajaan kerugian RM183,100 selepas diperdaya sindiket love scam yang menyamar sebagai ahli korporat dan doktor pakar sebelum memperdayakannya untuk membuat beberapa pindahan wang kononnya bagi urusan guaman.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa yang berusia 70 tahun mula mengenali kedua-dua suspek menerusi Facebook Messenger pada penghujung April lalu.
Beliau berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai seorang ahli korporat dan doktor pakar yang kononnya sedang bertugas di luar negara.
Menurutnya, selepas menjalinkan hubungan, kedua-dua suspek mengambil kesempatan terhadap kepercayaan mangsa dengan mendakwa memerlukan bantuan kewangan bagi membayar yuran guaman.
“Suspek mendakwa bayaran itu berkaitan urusan kontrak pembinaan serta pelepasan cek bernilai AS$85,000 (RM346,596) yang kononnya akan disumbangkan kepada sebuah persatuan doktor.
“Pada masa sama, mangsa turut dijanjikan akan menerima sejumlah wang selepas semua urusan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, akibat terlalu mempercayai suspek, mangsa melakukan lapan transaksi pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan dengan menggunakan wang simpanannya sendiri.
“Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah RM183,100.
“Bagaimanapun, selepas semua bayaran dibuat, suspek terus meminta wang tambahan atas pelbagai alasan sebelum mangsa menyedari dirinya telah diperdaya,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang baru dikenali melalui media sosial, terutama yang meminta bantuan kewangan atau menjanjikan pulangan wang yang lumayan.






