Pesara tentera didakwa buat hantaran jelik isu 3R di media sosial

SEORANG pesara tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran bersifat jelik membabitkan kaum, kehakiman dan institusi diraja (3R) pada Disember tahun lalu.

Marzuki Ismail, 52, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, membuat satu hantaran menggunakan akaun Facebook ‘Marzuki Ismail’, yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan satu keputusan mahkamah berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong, dengan niat untuk menyakitkan mana-mana orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.30 petang pada 22 Disember 2025, dan hantaran itu dilihat pada jam 3 pagi, 24 Disember tahun lalu di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Tertuduh selaku orang kena saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum bawah seksyen 233(2) Akta yang sama, melakukan kesalahan itu kira-kira jam 2.30 petang, pada 22 Disember 2025 dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi iaitu akaun Facebook “Marzuki Ismail.”

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk memastikan kehadiran OKS pada tarikh hadapan.

Bagaimanapun, peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili OKS merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan ia sepatutnya berfungsi untuk memastikan kehadiran anak guamnya dan bukan untuk menghukum dan membebankan.

Beliau berkata, OKS yang berusia 52 tahun mempunyai tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah.

Katanya, Marzuki adalah bekas tentera yang berkhidmat selama 22 tahun.

“OKS kini bergantung kepada pencen beliau sebanyak RM1,400 sebulan untuk menyara isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.

“Dia juga menghidap penyakit diabetes dan memerlukan rawatan berkala di hospital.

“OKS juga memberikan kerjasama penuh kepada MCMC apabila hadir ke Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan untuk merakamkan kenyataan dan dia juga datang sendiri ke mahkamah hari ini,” katanya.

Justeru, Nik Zarith berkata, pembelaan meminta mahkamah memberikan jumlah jaminan yang paling rendah untuk anak guamnya.

Hakim Ahmad Fuad Othman kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan 9 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen daripada pihak pendakwaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img