PENGURUSAN Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru menafikan dan memandang serius isu tular berkaitan individu didakwa petugas hospital yang meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa resit rasmi.
HSA menerusi hantaran di aplikasi Threads memaklumkan siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan petugas hospital, dan wanita itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan hanya membuat sebarang bayaran di kaunter hasil rasmi hospital serta memastikan resit sah diterima bagi setiap transaksi.
“Langkah ini bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan,” menurut hantaran itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan bahawa satu laporan telah dibuat berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai bekerja sebagai sukarelawan di hospital berkenaan telah ditahan.
“Seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh membuat laporan mengenai kejadian itu dan dipercayai suspek meminta deposit sebanyak RM700.
“Suspek ditahan dan direman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, tular hantaran seorang wanita di Threads yang mempersoalkan sekiranya hospital berkenaan mengenakan bayaran deposit bagi pendaftaran wad.
Dia mendakwa ibunya perlu membayar sejumlah RM30 kepada individu terbabit, iaitu seorang wanita, ketika ingin membuat pendaftaran masuk wad bapanya tanpa diberi resit bayaran.


