Pesara tentera maut dalam kebakaran rumah

SEORANG lelaki berusia 80 tahun maut selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Dong di Raub malam tadi.

Mangsa seorang pesara tentera, Abdul Hamid Jaafar, dipercayai terperangkap di ruang tamu ketika kebakaran berlaku kira-kira jam 9.55 malam sebelum mayatnya ditemukan anggota bomba dan penyelamat.

Isterinya yang berusia 76 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub tiba di lokasi pada jam 10.20 malam.

“Api berjaya dikawal kira-kira jam 10.40 malam. Selepas api dipadamkan, anggota bomba yang melakukan pemeriksaan di dalam premis menemukan mayat mangsa di ruang tamu.

“Kira-kira 80 peratus rumah terbabit mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid dipercayai mengalami kecederaan melecur parah akibat bahang api yang kuat.

Mohd Razam berkata, seramai 20 anggota bomba dari BBP Raub, Sungai Koyan dan Lipis dikerahkan untuk memadam kebakaran itu dan operasi tamat pada jam 2.13 pagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Fadzli Mohamad Kamal dalam hantaran di Facebook berkata, beliau ke kampung berkenaan selepas dimaklumkan mengenai kejadian malam tadi.

“Saya berdukacita apabila dimaklumkan Abdul Hamid ditemukan meninggal dunia di dalam rumah yang terbakar.

“Takziah kepada keluarga dalam menghadapi saat sukar ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here