Iran mahu Malaysia terus galak dialog damai dengan AS

IRAN mahu Malaysia terus memainkan peranan sebagai suara pengantara di pentas antarabangsa dalam menggalakkan usaha diplomatik antara Tehran dan Washington diteruskan bagi meredakan ketegangan yang masih membelenggu rantau Asia Barat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia kekal berpegang pada saluran diplomasi yang menjadi asas penting dalam mengelakkan sebarang krisis daripada berlarutan.

“Iran mahu rundingan damai diteruskan dan berharap Amerika Syarikat dapat melihat perkara ini daripada sudut yang berbeza demi mengelakkan krisis berpanjangan,” katanya pada sidang media penutupan lawatan kerja beliau sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di New York Sabtu lalu, lapor Buletin TV3.

Terdahulu, Mohamad mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi di sela-sela UNGA ke-81.

Beliau berkata, Menteri Luar Iran itu turut menerangkan tentang perkembangan terkini krisis yang melanda rantau berkenaan serta pendirian Tehran yang masih komited terhadap penyelesaian secara diplomasi.

Pada masa sama, Mohamad berkata, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan di Selat Hormuz yang boleh memberi kesan besar kepada ekonomi serantau.

“Malaysia berharap supaya Selat Hormuz akan dibuka kerana penutupannya memberi kesan besar kepada banyak negara, khususnya di ASEAN.

“Bekalan minyak mentah yang dihantar ke rantau ini banyak melalui Selat Hormuz dan sebarang gangguan akan memberi implikasi yang luas,” katanya.

Menurut beliau, Araghchi memberi jaminan bahawa negaranya tidak mempunyai masalah untuk memastikan laluan itu kekal terbuka sekiranya terdapat persetujuan dan kemajuan dalam usaha diplomatik yang sedang dijalankan.

Mohamad berkata, berdasarkan perbincangan itu, Iran masih memberi keutamaan kepada penyelesaian melalui saluran diplomasi dan kini menunggu maklum balas terhadap cadangan yang telah dikemukakan bagi membolehkan rundingan diteruskan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here