KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang meneliti cadangan mentransformasikan 418 loji rawatan kumbahan usang di seluruh negara kepada kawasan pembangunan pelbagai guna, termasuk taman rekreasi dan kolam takungan air.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bertujuan memaksimumkan penggunaan aset sedia ada dengan memberikan fungsi baharu kepada kawasan loji yang masih beroperasi atau tidak lagi digunakan.
Beliau berkata, antara pendekatan yang sedang dikaji ialah mengekalkan fungsi rawatan kumbahan di bahagian bawah tanah, manakala kawasan permukaan dimanfaatkan untuk pembangunan taman rekreasi atau kemudahan awam.
Selain itu, kolam rawatan yang tidak lagi beroperasi juga berpotensi ditukar menjadi kolam takungan air bagi membantu mengurangkan risiko banjir, terutama di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kita sedang mengkaji dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) akan memperincikan bagaimana kita dapat menambah nilai dan memaksimumkan penggunaan dengan kewangan yang agak terhad.
“Bagaimana kita nak gunakan bukan sekadar memperbaiki tetapi untuk tujuan yang pelbagai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media di ibu negara malam ini.
Menurut Fadillah, JPP sedang meneliti kaedah pelaksanaan yang bersesuaian bagi memastikan aset berkenaan dapat dimanfaatkan secara optimum, selain mengelakkan pembaziran sumber dan peruntukan kerajaan.
Katanya, keadaan loji sedia ada berbeza apabila ada yang masih berfungsi, manakala sebahagian lagi telah ditutup dan terbiar.
Justeru, katanya, pendekatan bersesuaian perlu dikenal pasti bagi membolehkan kawasan berkenaan dimanfaatkan semula mengikut keadaan serta potensi masing-masing.
Beliau berkata, PETRA juga tidak menolak kemungkinan melibatkan pihak swasta dalam pelaksanaan usaha itu memandangkan projek berkenaan penting dan perlu disegerakan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah pelaburan yang diperlukan untuk melaksanakan transformasi membabitkan keseluruhan 418 loji itu masih belum dimuktamadkan.
Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, pengiktirafan JPP sebagai jabatan teknikal membuktikan kepakaran dan pengkhususan jabatan itu dalam sektor pembetungan, khususnya berkaitan kejuruteraan serta teknologi.
Beliau berharap pengiktirafan yang diberikan bagi tempoh dua tahun itu dapat dikekalkan secara tetap selepas tamat tempoh berkenaan.




