KEDUDUKAN Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan difahamkan masih kekal setakat malam ini, meskipun timbul perkembangan berhubung peletakan jawatan beliau sejak pengumuman dibuat oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) semalam.
Perkara itu dimaklumkan sumber yang mengetahui perkembangan berkenaan selepas Ismail menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap di Seremban petang tadi.
Menurut sumber, pertemuan itu belum menghasilkan sebarang keputusan yang mengubah kedudukan Ismail, malah difahamkan Tuanku Muhriz tidak memperkenankan peletakan jawatan berkenaan.
“Setakat pertemuan itu, Ismail Lasim kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Kita difahamkan Tuanku tidak perkenan (peletakan jawatan),” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.
Ismail dilaporkan tiba di Istana Hinggap kira-kira pukul 5 petang bagi menghadap Tuanku Muhriz, ketika persoalan mengenai status jawatan Menteri Besar itu terus menjadi perhatian.
Isu berkenaan tercetus selepas Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam mengumumkan peletakan jawatan Ismail, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada proses berkenaan sudah mendapat perkenan pihak istana.
Sebelum ini, pihak istana menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali juga sebelum ini memaklumkan bahawa pihak istana masih belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail.
Perkembangan terbaharu itu bermakna kedudukan Ismail masih belum berubah berdasarkan maklumat sumber, sementara sebarang pengesahan rasmi mengenai status peletakan jawatan berkenaan masih dinantikan.





