PETRONAS menafikan penglibatan syarikat itu dalam laporan penghantaran kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia ke Filipina seperti yang dilaporkan oleh media asing baru-baru ini.
Petronas menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkaitan pembekalan diesel.
“Keutamaan utama Petronas kekal memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan untuk Malaysia, melalui penyelarasan rapat dengan kerajaan serta pihak berkepentingan berkaitan,” kata syarikat minyak nasional itu dalam satu kenyataan hari ini.
Penjelasan itu dibuat susulan laporan Agensi Berita Filipina (PNA) yang menyatakan penghantaran diesel berkenaan bertujuan menambah bekalan bahan api Filipina ketika pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.
Agensi berita itu melaporkan kira-kira 329,000 tong, atau 52.311 juta liter, diesel dari Malaysia telah dihantar ke Filipina, sekali gus menambah bekalan bahan api negara itu di tengah ketidaktentuan pasaran minyak global yang dipacu oleh krisis di Asia Barat
Ketibaan terbaharu diesel yang diperoleh kerajaan itu menyusuli penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong, atau 22.578 juta liter, dari Jepun pada 26 Mac, selaras dengan arahan Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. di bawah Perintah Eksekutif 110 bagi memastikan bekalan minyak yang stabil dan mencukupi ketika ketidaktentuan pasaran luar meningkat.
SEMENTARA itu Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengesahkan 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia seperti dilaporkan media antarabangsa hari ini.
Pasukan Pengurusan Krisis MTEN dalam kenyataan, menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta merujuk kepada sumber rasmi kerajaan.


