Seleweng dana awam RM300 juta : wujud salahguna kuasa oleh bekas CEO badan berkanun

SIASATAN  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati wujud modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam berhubung kes membabitkan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan.

Sumber memberitahu, individu berkenaan dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh (absolute power) dalam keseluruhan proses itu.

“Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.

“Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah,” katanya lapor Harian Metro.

Sumber berkata, susulan itu, aliran dana dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih AS$48 juta, selain satu transaksi sekitar AS$3.3 juta di Labuan yang membabitkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.

Kata sumber, turut disiasat dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO berkenaan, melinatkan ira-kira AS$10,000 dan AED37,000 (kira-kira RM80,000).

“Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi USD51.3 juta dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).

“Dalam perkembangan berkaitan, tambahan enam akaun individu bernilai kira-kira RM11 juta, menjadikan keseluruhan pembekuan kira-kira RM16.8 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK), Datuk Mohamad Zamri Zainul, ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih berjalan.

Katanya, SPRM sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, British Virgin Islands (BVI), Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan bekas CEO sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat pegangan direman bagi membantu siasatan SPRM berhubung penjualan saham sehingga menyebabkan kerugian dana awam melebihi RM300 juta.

Mereka disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img